Saturday, November 04, 2006

Sultan Mizan Yang di-Pertuan Agong ke-13

Sultan Mizan Yang di-Pertuan Agong ke-13




Sultan Abdul Halim dilantik timbalan berkuat kuasa 13 Disember










KUALA LUMPUR: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin Sultan Mahmud (gambar) dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 untuk tempoh lima tahun, berkuat kuasa 13 Disember ini.

Datuk
Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan, pelantikan Sultan Mizan bagi
menggantikan Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail,
diisytiharkan Majlis Raja-Raja pada mesyuarat khasnya ke-208 di Istana
Negara, semalam.

Perdana Menteri turut mengumumkan, Sultan
Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah Sultan Badlishah dipilih
sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong, berkuat kuasa pada tarikh yang
sama.

“Majlis Raja-Raja pada Mesyuarat Yang ke-208 (Khas) di
Istana Negara, bersetuju mengisytiharkan pemilihan itu mengikut
peruntukan Jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam
kenyataan di sini semalam.

Mesyuarat itu dihadiri semua raja
kecuali Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah Sultan Abu Bakar yang
mewakilkan Sultan Kedah dan Sultan Johor, Sultan Iskandar Sultan Ismail
yang mewakilkan Sultan Terengganu.

Beliau berkata, mesyuarat itu dipengerusikan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Ja'afar Tuanku Abdul Rahman.


Sultan Mizan yang ketika ini Timbalan Yang di-Pertuan Agong,
diputerakan pada 22 Januari 1962 di Istana Al-Muktafi, Kuala
Terengganu. Baginda mendirikan rumah tangga dengan Cik Puan Seri Rozita
Adil Bakeri yang kini menggunakan gelaran Sultanah Nur Zahirah pada 7
Disember 1973.

Baginda dikurniakan dua putera dan dua puteri
iaitu Tengku Nadhirah Zahrah, 10; Tengku Muhammad Ismail, 8; Tengku
Muhammad Mua'az, 6, dan Tengku Fatimatuz Zahra', 4.

Sultan
Mizan pertama kali dilantik sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong pada
26 April 1999 ketika Sultan Selangor, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah
menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-11.

Kali kedua baginda
dilantik sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong ialah pada 12 Disember
2001 berikutan kemangkatan Sultan Salahuddin, pada 21 November tahun
berkenaan.

Sultan Mizan dilantik sebagai Yang di-Pertuan Muda
Terengganu pada 6 November 1979 dan dimasyhurkan sebagai Sultan
Terengganu ke-16 pada 15 Mei 1998 selepas kemangkatan ayahanda baginda,
Sultan Mahmud.

Baginda pernah menjadi Yang Dipertua Majlis
Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu dari Jun 1991 hingga Disember
1995, Pegawai Tadbir Negeri di Unit Perancang Ekonomi Negeri pada Julai
1988 dan Penolong Pemungut Hasil Tanah di Pejabat Tanah Daerah Kuala
Terengganu pada September 1981.

Sultan Mizan mendapat
pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu
sebelum melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Sultan Sulaiman
sehingga Tingkatan lima.

Baginda kemudian melanjutkan pelajaran
ke Geelongs Grammar School di Melbourne, Australia dan memperoleh
ijazah Sarjana Muda Perhubungan Antarabangsa dari US International
University-Europe di London pada 9 Jun 1988.

Sultan Mizan
mengikuti kursus tentera Pre SMC (E) 33 di Army School of Languages
mulai 2 November 1982 hingga 31 Disember 1983 serta kursus SMC 33 di
Royal Military Academy, Sandhurst, England mulai 3 Mei 1983 dan
menamatkan kursus Pegawai Kadet pada 9 Disember 1983.

Baginda
aktif dalam bidang sukan dan ketika di Sekolah Menengah Sultan
Sulaiman, pernah mewakili sekolah dan daerah Kuala Terengganu dalam
pertandingan bola sepak.

Sultan Mizan juga menubuhkan Persatuan
Perkasa Alam bagi menggalakkan minat sukan di kalangan remaja
Terengganu, menjadi penaung Kejohanan Golf Warisan Terengganu serta
ahli kehormat Kelab Golf Diraja Selangor.

Sementara itu, Sultan
Abdul Halim pernah dilantik Yang di-Pertuan Agong ke-5 daripada 12
Januari 1970 hingga 20 September 1975.

Senarai Yang di-Pertuan Agong
  • Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Abdul Rahman Tuanku Muhammad (3 Ogos 1957 – 1 April 1960).

  • Sultan Selangor, Sultan Hisamuddin Alam Shah Sultan Ala’iddin Sulaiman
    Shah (1 September 1960 – mangkat beberapa jam sebelum ditabalkan).
  • Raja Perlis, Tuanku Syed Putra Syed Hassan Jamalullail (21 September 1960 – 20 September 1965).
  • Sultan Terengganu, Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Sultan Zainal Abidin (21 September 1965 – 20 September 1970).
  • Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah Sultan Badlishah (21 Januari 1970 – 20 September 1975).
  • Sultan Kelantan, Tuanku Yahya Petra Sultan Ibrahim (21 September 1975 – 29 Mac 1979).
  • Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah Sultan Abu Bakar (26 April 1979 – 25 April 1984).
  • Sultan Johor, Tuanku Mahmood Iskandar Sultan Ismail (15 April 1984 – 25 April 1989).
  • Sultan Perak, Sultan Azlan Shah Sultan Yussuff (26 April 1989 – 25 April 1994).
  • Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Jaafar Tuanku Abdul Rahman (16 April 1994 – 25 April 1999).
  • Sultan Selangor, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Sultan Hisamuddin (26 April 1999 – 21 November 2001).
  • Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail (13 Disember 2001 – 12 Disember 2006).




  • powered by performancing firefox

    Thursday, December 01, 2005

    akum....